Ikhwan Muslimin

Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab: 71)

Friday, January 23, 2009

Perempuan yang terkelambu oleh ummah...

Posted by Qarkun



Apakah tanggungjawab seorang perempuan? Bila kita bincangkan mengenai tanggungjawab dan peranan satu makhluk bernama perempuan, maka apakah yang akan terbayang pada mata kita dan muncul di pemikiran kita?

Basuh pinggan, kemas rumah, seterika baju, sidai kain, lipat pakaian, masak, mop lantai, beli barang rumah, jaga anak, lahirkan anak. Itu adalah antara yang akan muncul dahulu di benak pemikiran kita, bila kita bercerita mengenai tanggungjawab seorang perempuan.

Saya hendak menimbulkan satu persoalan, apakah benar, semua yang kita sebutkan tadi merupakan tanggungjawab seorang perempuan?

“ Orang perempuan ini letaknya di dapur”

“ Buat apa la belajar tinggi-tinggi, perempuan nanti tempatnya di rumah juga”

“ Perempuan tak payah ada cita-cita, nanti jadi hamba lelaki juga”

Inilah bicara-bicara, yang kita warisi dari turun-temurun, dan tidak pula saya ketahui dari siapa bermulanya bicara-bicara seperti itu. Tetapi saya yakin dengan sebenar-benar keyakinan, kata-kataseperti itu tidak berasal dari ISLAM yang mulia, dan memuliakan sesiapa yang mengambilnya sebagai jalan hidup.

Bicara-bicara di atas, mencerminkan bagaimana pandangan dunia terhadap perempuan. Rendah, hina, dan terpenjara. Sedangkan fitrah manusia itu bebas, tiada kongkongan, tidak terikat, melainkan ikatannya yang benar terhadap penciptanya, ALLAH SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Bila keadaan ini didoktrinasi dalam kehidupan manusia, dan kaum perempuan yang juga manusia, mempunyai akal, perasaan, tidak lagi sanggup dihina, maka mereka bangkit dan menentang. Bangkitpula, ibarat gunung berapi yang meletus.

Tahukah kalian bagaimana gunung berapi meletus? Bukankah berlaku pemanasanterpebih dahulu di dalamnya, sehingga gunung itu tidak mampu lagi menahan kepanasan yang terkumpul, akhirnya ia memuntahkan lahar-laharnya? Andai ada kampung di sekeliling gunung berapi itu, adakah lahar yang termuntah itu memilih siapakah yang hendak dibakarnya? Rumah penjenayah, rumah perompak, rumah ketua kampung, rumah anak yatim, hatta rumah para ulama’ pun akan dibakarnya tanpa mengira siapa.

Itulah yang berlaku hari ini, kaum perempuan bangkit, tidak rela diperhambakan, tidak rela diletakkan rendah, maka mereka bangkit, lalu menyelar semua, sehinggakan peraturan ALLAH pun dikatakan tidak lagi relevan. Mereka merasakan, rumah itu adalah sebuah penjara kehinaan. Mereka merasakan,melayani suami dengan baik bukanlah kerja yang mulia. Mereka merasakan, membesarkan anak, membentuk generasi masa hadapan di rumah bukanlah kerja yang sepatutnya bagi mereka.

Kenapa hal ini boleh berlaku? Adakah ini salah perempuan?

Wahai ummah, ketahuilah bahawa perempuan itulah makhluk yang teraniaya. Kenapa?

Kerana ummah telah salah menggunakan syariat dalam memperhambakan mereka. Akhirnya syariat ALLAH terpalit dek lumpur yang dibawa oleh manusia-manusia yang tidak faham apakah itu syariat ALLAH dan apakah tujuan sebenar ia diturunkan.

Wahai ummah, saya ingin mengingatkan kalian, akan firman ALLAH SWT yang benar!

“ Dan tidaklah KAMI utuskan engkau(Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam”

Apakah yang difahami sebagai seluruh alam? Maknanya lebih dari seluruh alam apa yang anda bayangkan. Hakikatnya ISLAM bukan sahaja rahmat untuk seluruh alam yang nampak pada mata kita, tetapi ISLAM juga adalah rahmat kepada alam haiwan, alam jin, alam tumbuhan, alam sel, alam atom, alam angkasa, alam planet-planet dan semua alam yang wujud di dunia ini. Termasuklah alam seorang wanita.

ISLAM tidak akan merendahkan sesiapa. Jauh sekali merendahkan satu makhluk, yang ALLAH ciptakannya di dalam syurga, dari rusuk kiri makhluk yang diciptakan sendiri dengan tangan ALLAH SWT. Maka apakah benar yang dicanangkan oleh ummah yang menyatakan bahawa ISLAM merendahkan wanita?

Izinkan saya memetik satu artikel yang saya jumpa di sebuah laman blog,

“ Kebelakangan ini, layanan wanita Muslim di Afghanistan telah digunakan untuk mempamerkan gambaran penindasan dan penderaan ke atas wanita Muslim dan seterusnya menyalahkan hukum syarak. Contoh lain yang lebih ketara adalah pembunuhan Banaz Mahmood di United Kingdom oleh bapa dan pakciknya sendiri demi ‘maruah’. Contoh lainnya pula ialah Mukhtar Mai di Pakistan yang telah diperkosa secara berkumpulan sebagai hukuman pembalasan ke atas abang beliau yang dikatakan mempunyai hubungan dengan anak gadis ketua kampung mereka. Walaupun jelas tingkah laku dan tindakan ini bukan berasaskan Islam, tetapi pihak media Barat telah menghubungkaitkan jenayah ini dengan ajaran Islam.”

Adakah itu ajaran ISLAM?

Satu waktu, ada sekumpulan penentang poligami di Malaysia menyeru manusia untuk meninggalkan poligami, menyatakan betapa poligami adalah satu hukum yang tidak lagi relevan, memperhambakan wanita dan menjadikan wanita sebagai simbol pemuas nafsu kepada lelaki. Mereka bangkit selepas banyaknya jenayah rumah tangga, dan runtuhnya rumah tangga, dan rosaknya kehidupan seorang perempuan selepas berpoligami.

Adakah itu hasil dari mengikuti ajaran ISLAM?

Apakah ISLAM merendah-rendahkan perempuan?

Siapa yang sebenarnya merendah-rendahkan perempuan?

Dunia....

Perempuan hari ini dikelambu oleh pandangan dan kesilapan ummah dalam pemahaman ummah ke atas ISLAM. Siapakah yang silap dalam poligami? Tahukah apakah syarat untuk berpoligami?

Adil.

ALLAH SWT berfirman,

“...maka nikahilah dari perempuan itu dua, tiga atau empat. Tetapi kalau kamu takut tidak berlaku adil, maka nikahilah seorang sahaja”

Inilah yang ISLAM bawa, kerana asas poligami adalah untuk memudahkan kedua-dua pihak. Memberikan perlindungan kepada perempuan yang tidak mempunyai tempat bergantung, dan kepada lelaki yang takut kepada ALLAH untuk menjaga diri dari maksiat. Tetapi asasnya adalah adil.

Tetapi apakah asas orang-orang yang berpoligami hari ini? Mereka mencanangkan ayat ini menyatakan hak mereka berpoligami, tetapi niat utama mereka adalah pemuasan nafsu. Mereka tidak adil dalam mengharungi poligami, dan tiada pula niat untuk melindungi wanita yang mereka kahwini melainkan dahagakan kecantikan dan kepuasannya sahaja.

Adakah ini poligami ISLAM?

Akhirnya ISLAM yang mulia kelihatan merendahkan perempuan atas perbuatan-perbuatan orang yang hina ini. Adakah masih ISLAM yang bersalah?

Kesilapan ummah dalam melayani perempuan, dan mencanangkan ISLAM sebagai perisai perbuatan mereka, membuatkan mata kaum perempuan terkelabu, lalu bangkit meninggalkan ISLAM yang menjaga mereka, yang memuliakan mereka.

Kesilapan ummah ini jugalah yang membuatkan perempuan merasakan tanggungjawab mereka membina ummah, dan melayani suami yang kesusahan mengharungi dunia yang mencabar sebagai satu perkara yang hina.

Mata wanita terkelabu dengan sikap ummah. Bila kaum ini bangkit, seluruh dunia berdiri memijak mereka, dan menyatakan mereka hendak menentang fitrah dan arahan ALLAH. Hal ini menyebabkan perempuan yang dikurniakan emosi yang melebihi pemikiran, terkeluar dari rasional pemikiran lalu bangkit ibarat muntahan lahar gunung berapi yang tertahan selama beribu tahun.

Apakah sebenarnya yang telah berlaku?

Maka berjayalah musuh-musuh yang hendak melihat kehancuran ummah. Kerana madrasah pertama untuk manusia berjaya dihancurkan. Kerana tempat pertama ISLAM merebak berjaya diletupkan. Apakah madrasah pertama untuk manusia dan tempat pertama ISLAM itu?

Itulah dia rumah.

Ingatlah wahai ummah Rasulullah SAW ada bersabda,

"Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Ibu bapalah guru kepada manusia. Apakah yang berlaku jika kedua ini saling merendahkan sesama mereka? Sedangkan tiadalah sesiapa yang mulia melainkan yang lebih taqwanya kepada ALLAH!

Adakah kalian lupa ALLAH SWT ada berfirman kepada kita,

“ Wahai manusia, sesungguhnya KAMI ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI jadikan kamu bermasyarakat dan berkabilah untuk kamu saling mengenal, sesungguhnya yang termulia dari kalangan kamu di sisi ALLAH adalah yang paling tinggi taqwanya”

Wahai ummah, apakah yang telah kamu lakukan kepada perempuan-perempuan kamu?

0 commentz: