Ikhwan Muslimin

Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab: 71)

Friday, January 23, 2009

Perempuan...

Posted by Qarkun



Perempuan. Apakah yang akan terpapar pada tubir mata kita apabila kita menyebut kalimah ini?

Kita akan melihat satu makhluk yang lemah, yang kerjanya adalah memasak, membasuh baju, menyidai kain, melahirkan anak-anak, mendidik anak-anak, makhluk yang rendah, makhluk yang menjadi simbol seks, tempat pemuas nafsu dan sebagainya.

Perempuan. Apakah yang kita telah lakukan kepada perempuan kita?

Adakah kita mengangkat mereka sama taraf dengan kita ataupun kita merendah-rendahkan mereka dalam kehidupan kita?

Hari ini kita melihat banyak jenayah rumah tangga, dan ketidak adilan poligami yang berjalan ke atas perempuan. Hinggakan kaum ini bangkit membantah, malah generasi baru perempuan menjadi fobia dengan lelaki dan membina satu pemikiran dan pandangan baru, iaitu perempuan mesti bersaing dengan lelaki.

Kalau kita menyelongkar semula agenda zionis, salah satu perancangan mereka untuk menghumban ummah ke arah kelemahan adalah dengan mengeluarkan perempuan-perempuan dari rumah mereka.

Kenapa?

Kerana perempuan ini adalah pertahanan akhir bagi ummah.

Tahukah apa yang diuli oleh tangan seorang perempuan? Apakah mereka hanya menguli bahan untuk membuat kuih atau kek semasa hari raya? Tahukah apa yang dibentuk dan dihias oleh tangan seorang perempuan? Apakah mereka ini hanya tahu membentuk kek atau menghias rumah sahaja? Tahukah kalian apakah yang dikerjakan oleh tangan seorang perempuan? Apakah mereka hanya menggunakan tangan mereka untuk menyidai kain, membasuh baju dan memasak?

Tangan seorang perempuan itulah yang menghias dan mengerjakan masa hadapan. Tangan merekalah yang menguli dan membentuk generasi-generasi yang akan hidup pada masa hadapan. Pada tangan merekalah membesarnya manusia-manusia yang akan meneruskan kesinambungan kerja, kepimpinan, kemajuan, kemakmuran, keagungan yang dilakukan oleh manusia hari ini.

Sebab itulah, musuh-musuh kita hendak mengeluarkan perempuan dari rumah, agar perempuan yang mempunyai harga yang mahal ini, dapat dimusnahkan terlebih dahulu. Akhirnya, generasi masa hadapan akan rosak, seterusnya kesinambungan kegemilangan kita tidak akan dapat diteruskan.

Akhirnya kita lihat hari ini? Apakah yang berlaku? Perempuan semmua berlumba-lumba mengejar kerjaya tinggi, hendak menjadi pegawai, hendak menjadi menteri, hendak buka syarikat, hendak berniaga di pasar dan sebagainya. Kalau tidak bekerja, menjadi suri rumah dan menjaga anak sahaja, dia akan merasa hina.

Kini rancangan mereka telah berjaya. Namun, bukan semua perempuan mudah jatuh atas segala serangan luaran dan dalaman yang ditujukan musuh kepada mereka. Lantas, musuh-musuh kita menyediakan satu lagi jarun tambahan, yang sebenarnya sudah disediakan awal-awal untuk perempuan-perempuan yang kuat.

Apakah jarum itu?

Ketidak adilan, prejudis, dan diskriminasi dari lelaki. Inilah jarum yang paling berbisa.

Kita lihat, lelaki hari ini pemikiran mereka telah didoktrinasi dengan satu pandangan buruk terhadap wanita. Di hati lelaki, tiada rasa hendak memuliakan kaum wanita. Cuba lihat apakah yang berlaku di rumah? Memasak, membasuh pakaian, menjaga anak, mengemas rumah, semuanya diserah bulat-bulat kepada perempuan. Malah, jika perempuan itu berkerjaya, lagi-lagi bekerja pejabat yang banyak urusannya, apabila ditambah pula dengan kerja-kerja rumah, mereka lebih senang menerima tekanan, seterusnya akan berlaku pergaduhan, salah faham yang merosakkan rumah tangga.

Lelaki juga telah disalah ertikan dengan ibadah poligami. Mereka merasakan, poligami itu untuk mereka memuaskan nafsu mereka. Tak puas satu isteri, ambil isteri kedua. Hal ini membuatkan perempuan merasakan diri mereka dihinakan. Seakan-akan menjadi tempat pemuas nafsu sahaja. Akhirnya, sudahlah lelaki salah erti konsep dan tujuan sebenar poligami, kini ditambah pula perempuan yang merasakan poligami itu satu hukum ALLAH yang silap, tak relevan dan tidak adil. Hal ini menjurus kepada kufur apabila menafikan hukum ALLAH.

Bagaimana? Adakah suasana menjadi semakin baik apabila perempuan keluar rumah? Adakah suasana menjadi lebih elok apabila perempuan direndah-rendah? Tidak. Tetapi tiada siapa yang perasan keburukan yang berlaku. Hal ini kerana, situasi ini sudah dianggap biasa oleh semua orang.

Bagaimana keburukan ini boleh kita anggap biasa? Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa, keburukan itu hendaklah paling kurang kita benci dalam hati, dan membenci di dalam hati itu adalah selemah-lemah iman. Bagaimana kita boleh anggap perkara ini biasa?

Suasana jadi buruk, rumah tangga jadi rapuh, perempuan makin terhina, lelaki pula rosak, zuriat jadi bermasalah, dan bagaimana masa hadapan? Adakah kita masih mempunyai masa hadapan jika hari ini kita sebegini?

Tahukah apa yang kita telah lupa?

Rasulullah ketika nazaknya, telah berpesan beberapa perkara. Tahukah kalian apakah salah satunya?

“ Aku mewasiatkan kepada kamu wanita. Jagalah wanita kamu, dengan penuh penjagaan dan penghormatan”

Itulah juga yang dipesan oleh Rasulullah SAW sebelum itu, ketika khutbah wida’ baginda di Hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda,

“ Takutlah kamu kepada ALLAH atas wanita... sesungguhnya untuk kamu haq ke atas mereka, dan untuk mereka haq ke atas kamu”

Tahukah kalian apakah pesan ALLAH kepada kita?

“ Lelaki itu mempunyai lebih kekuatan dari perempuan”

Tetapi apakah kita faham dari ayat ini? Sebahagian kita menganggap, inilah ayat yang menyatakan perempuan itu lemah. Sebahagian pula menganggap, ini ayat yang mendiskriminasi wanita.

Sebenarnya, inilah ayat yang membawa maksud bahawa,

“ Wahai lelaki, tanggungjawab kamu adalah menjaga wanita”

Bukan mengeksploitasinya, merendahkannya, menghinanya. Lelaki diberi kekuatan lebih untuk menjaganya, memuliakannya.

Perempuan. Makhluk itulah yang hendak membentuk zuriat yang meneruskan legasi kita, kekuatan kita. Kenapa pula makhluk sepenting ini hendak dihina?

ISLAM menjaga wanita, jika tidak, tiadalah disebut oleh Rasulullah SAW sebelum wafat.

Ada hadith, Rasulullah SAW bersabda,

“ Perempuan itu adalah fitnah”

Ini juga disalah anggap oleh sebahagian manusia, mereka menyatakan bahawa ISLAM merendahkan wanita melalui sabda ini. Kaum lelaki pula memandang hina pada wanita atas sabda ini. Adakah itu maksud Rasulullah SAW?

Pastinya tidak!

Ayat ini adalah gesaan untuk kita menjaga wanita kita. Kerana, jika mereka tidak kita jaga, maka mereka akan dirosakkan. Rosaknya wanita, akan menjadikan seluruh perkara rosak. Lihat hari ini, bagaimana dunia mengeksploitasi wanita? Adakah dunia menjadi semakin baik bila kita tidak menjaga perempuan kita? Melepaskan mereka begitu sahaja?

Sabda Rasulullah SAW itu menunjukkan betapa besarnya, pentingnya seorang wanita.

Tetapi kenapa kita masih mengabaikannya?

“ Aku wasiatkan kepada kamu wanita, jagalah wanita kamu dengan sepenuh penjagaan dan penghormatan”

Wahai lelaki dan perempuan!

Muhasabahlah!

0 commentz: