Ikhwan Muslimin

Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab: 71)

Friday, January 23, 2009

Perempuan, kamu adalah ibu…

Posted by Qarkun




Sebagaimana yang saya sering ulangi dalam beberapa post yang lepas, perempuan adalah guru pertama untuk manusia. Keterikatan dan keeratan hubungan antara manusia dengan wanita adalah sangat erat dan amat sukar dipisahkan. Hal ini kerana, andai manusia itu cuba berlari ke hujung dunia sekalipun, dia tetap tidak akan dapat mengelakkan diri, dari hakikat bahawa dia dilahirkan dari rahim seorang wanita.

Lelaki tidak akan mampu menandingi wanita dari segi kesabaran mereka ketika menempuhi saat mengandung. Bayangkan 9 bulan 9 hari menggendong anak dalam kandungan, kemudian bersabung nyawa melahirkan seorang insan. Percaya atau tidak, wanita adalah makhluk yang pertama akan berinteraksi dengan bayi.

Sebab itulah, ISLAM amat menjaga wanita dan memuliakannya. Kalau anda ingin tahu, segala tanggungjawab rumah seperti membasuh kain, memasak, melipat baju, bukanlah tugas seorang wanita. Tugas wanita hanyalah melahirkan anak, kemudian mengasuhnya sehabis baik, agar anak itu meneruskan kesinambungan hidup seorang muslim dan muslimah.

Pada suatu ketika dahulu, saya hanya menganggap ini satu kerelevanan sahaja, kerana saya sendiri tidak mempunyai nas, atau hadith ataupun sokongan ulama’ dalam perkara ini. Namun apabila saya datang ke Jordan, dan mengikuti satu kelas Tafaqquh, saya memberanikan diri bertanya akan hal ini.

“ Ustaz, adakah benar tugas-tugas rumah seperti membasuh pakaian, lipat kain, sidai baju, memasak, mengemas rumah dan sebagainya itu bukan tugas wanita? Adakah benar tugas mereka hanyalah melahirkan zuriat, mengasuh anak dan melayani suami?”

Tahu apa yang ustaz itu jawab?

“ Benar. Bahkan, kalau isteri melaksanakan kerja-kerja itu, dia boleh meminta gaji. Hakikatnya, suami yang perlu menyediakan orang gaji untuk isteri dalam melakukan kerja-kerja seperti memasak, membasuh baju, menyidai kain dan sebagainya agar isteri boleh menumpukan perhatian sepenuhnya dalam mengasuh dan mendidik anak”

Sebab itulah kalau anda perhatikan, Rasulullah SAW membasuh pakaiannya sendiri, menjahit sendiri bajunya yang lompong, membaiki sendiri seliparnya yang rosak, kalau isterinya tidak masak maka dia berpuasa tanpa merungut. Lihatlah, sedangkan kita semua tahu bahawa Rasulullah SAW mempunyai lebih dari 4 orang isteri.

Maka, para wanita, kerja utama mereka adalah melahirkan anak, mengasuh mereka dengan asuhan ISLAM, dan melayani suami. Inilah kerja, amanah yang utama ISLAM tetapkan kepada wanita. Sebab itulah lelaki diberikan kekuatan lebih dari wanita, supaya lelaki keluar bekerja mencari nafkah, di samping berjuang di jalan ALLAH SWT.

Rasulullah SAW memuji perempuan-perempuan yang duduk di rumah dan mendidik anak. Rasulullah SAW bersabda,

Wanita yang terbaik dari golongan Quraish adalah mereka yang berbuat baik terhadap anak-anaknya dan menjaga harta-benda suami mereka.”

Dalam sabda baginda yang lain, baginda SAW bersabda,

Seorang wanita telah datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berurusan tentang satu perkara, dan apabila telah selesai urusannya, Baginda bertanya kepada wanita itu, “Adakah kamu mempunyai suami?” Beliau menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimanakah hubungan kamu dengannya?” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabku kecuali yang di luar kemampuan ku.” Baginda berkata, “Berilah sepenuh perhatian terhadap layanan kamu kepadanya kerana dia adalah Syurga dan Neraka mu.

Inilah sebenarnya amanah wanita. Kerana apa? Kerana dialah yang paling rapat dengan insan. Tangan wanitalah yang pertama memproses seorang manusia. Pada tangan wanita jugalah letaknya hala tuju insan yang dilahirkannya.

Sebab itulah, ISLAM menjaga wanita. Bayangkan, bagaimana agaknya wanita yang memakai pakain dedah aurat hendak mendidik anaknya mentaati ALLAH secara penuh? Bayangkan, bagaimana wanita yang meninggalkan solatnya hendak mendidik anaknya mentaati ALLAH secara penuh? Bayangkan, bagaimana wanita yang berakhlak tidak senonoh, tidak mempunyai rasa malu, suka mengumpat dan sebagainya hendak mendidik anaknya mentaati ALLAH secara penuh? Bagaimanakah wanita yang bergaul bebas dengan lelaki lain selain mahramnya dan suaminya, hendak mendidik anaknya mentaati ALLAH secara penuh?

Sedangkan ALLAH berfirman,

“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ISLAM secara total, dan janganlah kamu sesekali mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya mereka adalah musuh yang nyata”

Sekarang, adakah kalian nampak betapa pentingnya wanita? Sekarang, adakah kalian terfikir, kenapa ISLAM amat menjaga wanita, dan melindungi mereka di dalam rumah? Sekarang, adakah kalian terfikir kenapa saya menyeru wanita agar menjaga diri mereka dalam post yang lepas?

Masih ingatkah kalian akan sabda Rasulullah SAW?

"Tidak ada seorang yang lahir melainkan menurut fitrahnya, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Kerana wanita adalah tersangat-sangat penting. Merekalah yang memegang masa hadapan dunia. Merekalah yang hendak mendidik pewaris penerus kesinambungan kehidupan ISLAM pada masa hadapan. Sebab itulah musuh-musuh kita mengeksploitasi wanita, memberikan mereka sesuatu yang mereka katakan itu kebebasan. Sedangkan sebenarnya, mereka mengheret wanita ke lembah kehancuran, seiring kehancuran masa depan ISLAM.

Wahai perempuan, kalian adalah ibu-ibu kami...

Maka janganlah kamu lalai dari tanggungjawab ini...

Sedang tanganmu yang mendodoi buaian itulah...

Yang akan menggoncang bumi...

0 commentz: